30 September 2018

Tanpa Sedari Kita Kaya

8:04 AM 8
TANPA SEDARI KITA KAYA
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt

Tanpa Sedari Kita Kaya

Hari terakhir di bulan September
Esok hari pertama di bulan Oktober
Didiklah diri sentiasa sedar
Kepada Allah SWT kita bersandar


Bunga kebangsaan Bunga Raya
Ada putih merah kuning warnanya
Kaya itu subjektik sebenarnya
Mensyukuri juga buat diri berasa kaya


Manis sungguh halwa cermai
Cukup sedikit sekadar merasa
Setiap amal kebaikkan yang disemai
Bererti menyemai limpahan pahala


Ramai memilih sepersalinan kurta
Tidak salah berkongsi budaya
Iman dan Islam juga harta
Harta paling bernilai darpada-Nya


Jari munggil cantik beruas
Geram rasa seperti mahu digigit
Erti kekayaan itu luas
Tidak semestinya berupa wang ringgit


Masuk hutan sambil berkuda
Lebih tangkas gerak gerinya
Tertib berakhlak juga kaya
Disenangi insan di mana-mana


Jangan berlama-lama bila berduka
Takutnya menjurus rasa tidak redha
Rezeki di datangkan pelbagai rupa
Tanpa sedari kita kaya

#sama-sama mencari redha Allah swt

29 September 2018

Tidak Termampu Diungkap

8:39 AM 3
TIDAK TERMAMPU DIUNGKAP
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Assalammualaikum wbt


TIDAK TERMAMPU DIUNGKAP | Ungkaplah dengan kata.Berlisan mengikut rentak yang dimahu.Meluah,mentafsir,menterjemah..apa sahaja yang dirasakan boleh,mampu dan perlu selayaknya.Didengari..atau di pandang sepi..itu hal biasa.Ada yang menggemari tidak kurang yang rasa meluat untuk menyaksi.Lumrah.

Tidak termampu diungkap.

Sedih.Menangis.Tapi terlalu gembira juga ada masanya hingga menangis.Menangis itu boleh jadi disebabkan kesedihan atau kegembiraan.Itulah tafsiran yang melihat.Hakikatnya kesedihan atau kegembiraan itu sukar dan tidak termampu untuk diungkap.Ianya terlalu halus dan sangat mendalam.

Begitu juga berkatan rasa sayang atau marah.Sayang sangat.Marah sangat.Tindakkan atau perbuatan itu dipandu dan terjemahan apa yang dirasa..Sejauh itu hakikat sebenar-benarnya sayang atau marah itu tidak termampu juga diungkap.Kalau kita melihat seseorang sedang nenunjukkan warna rasa di dalam hatinya..itu hanya satu kaedah mengurangi atau meredakan rasa.Emosi kita sukar untuk dibanding dengan apa pun.Susah juga untuk mencari perumpamaannya.

Terima kasih.Sebenarnya kalau ditanya pada yang benar-benar memaknakan ucapan terima kasih itu,ianya tidak sekadar dua patah perkataan semata-mata.Tidak sama sekali.Ianya lebih daripada itu.Menunjukkan rasa syukur,membayangkan rasa gembira dan tidak kurang melemparkan rasa sinis..ya pada "terima kasih" ini pun tidak termampu diungkap.

Bila sesuatu itu sebenar-benarnya dari lubuk hati yang paaaaaling dalam..percayalah tidak termampu diungkap.Hanya diri yang melalui atau mengalami sahaja yang berasakan ia.

TIDAK TERMAMPU DIUNGKAP

#sama-sama mencari redha Allah SWT



28 September 2018

Ambil Peduli

7:55 AM 3
Ambil Peduli
AMBIL PEDULI
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


AMBIL PEDULI | Cara setiap orang menunjukkan rasa dihati dan ambil peduli tidak sama.Kalau kata sama pasti ada bezanya di mana-mana yang tidak terlihat.Kalau dikatakan jauh beza pun..nah itulah kaedah dan pendekatan masing-masing.Hanya diri sendiri yang merasa dan tahu.

Ambil peduli.

Ada macam-macam cara.Meluah di media sosial.Menganjurkan kempen.Mengadakan perdebatan.Berceramah.Menulis kemudian dibukukan.Dikomersilkan melalui lagu,drama atau filem.Setiap pendekatan yang diambil dan diberi ada berbeza mengikut citarasa dan kebolehan serta kemampuan masing-masing.Biar jalannya berbeza namun matlamatnya sama.Apa yang utama dapat untuk digapai.

Ambil peduli dengan "menyebuk" atau sering dikatakan "busy body" itu lain.Ambil peduli dilakukan secara berterusan sehingga keadaan atau situasi kembali membaik atau pulih..manakala "menyebuk" seperti resamnya lalat..mengerumun bila terhidu bau yang kurang menyenangkan sahaja.Lalat tidak sentiasa ada.Hanya dikawasan atau waktu-waktu tertentu sahaja.

Sesama insan.Sebaiknya sentiasa saling bersama-sama.Namun,mungkin atas sebab atau kekangan yang membolehkan,maka ambil peduli tidak semestinya harus sentiasa berada disisi.Berjauhan juga boleh sentiasa ambil peduli.Apa yang utama sentiasa mencari jalan untuk mendekatkan hati biar pun jasad berjauhan.Lakukan dengan sesungguhnya hati nanti pasti dirasai..

Salam Jumaat indah yang terakhir di bulan September..

#sama-sama mencari redha Allah SWT


27 September 2018

Atas Dasar Pendapat..Noktah!

8:29 AM 12
ATAS DASAR PENDAPAT..NOKTAH!
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


ATAS DASAR PENDAPAT..NOKTAH! | "Makan boleh sembarang makan tapi cakap jangan sembarang cakap" .. Namun sebenarnya baik makan atau cakap tidak boleh sembarangan.Berbanding dalam etika memberi pendapat ianya sedikit berbeza.

Atas dasar pendapat..noktah!

Secara peribadi,bagi PC setiap individu tidak kira agama,bangsa,keturunan,usia dan statusnya apa..ada hak untuk memberi sebarang pendapat.Baik dari segi pendapat peribadi,berfakta atau di bawah bidang kuasa mahupun berdasarkan kepakaran yang dimiliki.Semua kita bebas bersuara namun itu bukan bererti bebas menggunakan sebarang kata-kata.Berilah pendapat atau pandangan dengan menggunakan kata-kata dan bahasa yang sopan.Jadilah manusia yang tahu menjaga adab ketika berbicara dan beretika pada setiap tingkah yang ditunjukkan.

Bercanggah pendapat itu wajar.Bertelingkah itu lumrah.Berasa tercuit itu biasa.Selain daripada itu,memberi pendapat juga boleh menimbulkan pertelagahan serius dan besar.Cumanya setiap kita mesti sedar dan buka mata.Kaji semula..apakah itu pendapat?..kembali pada niat asal.Apa matlamatnya.Mahu mencari jalan damai dan situasi menang-menang..atau mencetuskan sengketa yang hanya berpunca dari banyak pendapat yang tidak senang hati untuk diterima.

Pendapat yang dikongsi jika kena caranya ia mampu menyatukan.Jika silap percaturannya sekelip mata meranapkan ukhuwah yang sudah sekian lama terjalin dan terbina.Pada ketika teruja untuk memberi pendapat atau buah fikiran..jangan biasakan "syok sendiri"..hindari niat ada "agenda sendiri" dan sentiasa sedar diri "di mana sedang berdiri".Syukuri andai pendapat kita diterima..perbaiki lagi seandainya pendapat kita ditolak.Cukuplah "atas dasar pendapat..noktah!"

atas dasar pendapat..noktah!
Google image

#sama-sama mencari redha Allah SWT

26 September 2018

Banyak Selekoh

8:18 AM 10
BANYAK SELEKOH
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


BANYAK SELEKOH | Mengimbas satu ketika dulu-dulu..

Pakcik : Dari tempat A nak sampai ke tempat B ada berapa selekoh?
Budak kecik : Termenung sambil mulut terkomat kamit (menghitung)
Pakcik : Cepat sikit.😎
Budak kecik : Jap..jap..haaaaa ada 4 selekoh.
Pakcik : Bukan salah tapi silap sikit.Kurang tepat.
Budak kecik : Aaaaaalaaaaa..(muka kecewa)😩
Pakcik : Jawapannya ada 2 selekoh.Selekoh kanan.Selekoh kiri.

Beberapa tahun kemudian bila mana soalan sama yang diajukan..kali ini budak kecik yang dulu kecik sudah menjadi dewasa..dan pakcik tadi semakin dimamah usia ianya menjadi satu yang indah dikenang dan dikisahkan.Si dewasa menjawab dengan tenang.Si Pakcik garu kepala yang sudah dipenuhi uban mahu menjawab soalan yang dulunya budak kecik itu.

Jenis dan jumlah itu ada bezanya.Teliti dengan baik.Agar setiap kekusutan dapat dilerai dengan baik.Supaya banyak persoalan dapat dijawab dengan betul.Dalam situasi apa dan bagaimana pun dengarlah dahulu..fikir kemudian baru bertindak.

BANYAK SELEKOH

Banyak selekoh.

Betul.Sepanjang musafirnya kita..atau ke mana pun jauhnya perjalanan kita pasti menemui banyak selekoh biar pun sekadar  dua jenis selekoh iaitu kanan dan selekoh kiri yang ditemui.Banyaknya itu terkadang terlepas daripada hitungan.Ada selekoh tajam dan tidak.Amati betul-betul.Begitu juga situasinya pentas dan laluan hidup kita.Biar lurus sekalipun laluan yang dilalui..di situ kita tetap menemui jalan lubang dan berlopak..rekahan..mungkin juga kesan-kesan peristiwa terdahulu.

Kita belajar.Lebih banyak menempuhi liku-liku dan selekoh..lebih banyak yang dapat dipelajari.Syaratnya ambil sebagai pengajaran dan pelajaran.Untuk berubah.Mungkin juga untuk mengubah.Bukankah pengalaman itu juga ilmu untuk diri sendiri dan boleh dikongsi.Pada suatu yang baik itu dirai..pada suatu yang tidak benar sama-samalah perbetulkan.

#sama-sama mencari redha Allah SWT

25 September 2018

Gigit Jari

8:42 AM 15
GIGIT JARI
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt

Ayam ditangan terlepas.
Tangan bau tahi.
Ah!.


Dikejar tidak dapat.
Dikendong berciciran.
Ah!.


Lambat.
Terhegeh-hegeh.
Lembab.
Dan apa lagi.
Pada setiap kata yang ringan.
Dimulut.
Sesungguhnya berat.
Dipendengaran.
Daripada sesiapa pun.
Kepada sesiapa pun.


Jangan dicerca.
Tidak usah mencaci.
Mungkin hari ini tidak pada diri.
Ingat.Ingat.Ingat.
Mungkin terkena pada generasi.
Nanti.


Bumi berputar pada paksinya.
Manusia berputar pada takdir-Nya.
Tidak lama.
Tidak seketika.
Hanya menanti saatnya tiba.
Didetik yang paling tepat.


Berhenti untuk melakukan.
Perlahankan hasutan.
Nanti-nanti gigit jari.
Menyesali.
Berlari mencari.
Menemui belum pasti.
Sedang balasan dan hisab menanti.

GIGIT JARI

#sama-sama mencari redha Allah SWT

24 September 2018

Sebenarnya Yang Mana

8:08 AM 12
 Sebenarnya Yang Mana
 SEBENARNYA YANG MANA
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


 SEBENARNYA YANG MANA | Keliru.Ah!.Biar tidak sering mungkin sesekali rasa keliru menghampiri diri kita.Baik hal yang kecil apatah lagi melibatkan hal yang besar.Bila timbul rasa keliru mulalah tertanya-tanya.Bila keliru tanya.Cari dan rujuk pada tempat yang betul.Bertanya itu tiada salahnya asal betul soalannya dan kena pada tempatnya.InsyaAllah tiada masalah.

 Sebenarnya yang mana.

Diri sendiri sensitif atau orang lain yang tidak sensitif.Kadangkala tidak ada pun sebenarnya,tapi kadang bila dengar terus sakit hati,terus terakam dan tersimpan diminda.Terdengar-dengar ditelinga.Jadi dendam dan marah.Diri sendiri sensitif atau orang lain tidak sensitif sebenarnya.Banyak sahaja yang berlaku kini di mana sikap suka mencabar berleluasa..di mana-mana sahaja.Sengaja mengundang rasa tidak elok sedangkan sedia maklum akan hal-hal tersebut.Sedia maklum jika kawan kita mudah terasa hati tidak kiralah apa pun alasan yang digunakan..gurauan sekalipun..maka jangan diduga.Itu bererti kitalah yang tiada sensitiviti pada persekitaran.

Tahu namun buat-buat tidak tahu.Ini juga satu perangai yang ada sisi baik dan sebaliknya.Bergantung pada keperluan dan situasi yang sepatutnya.Apa perkara biarpun kita tahu terpaksa buat-buat tidak tahu.Bukan mahu berbohong atau menutupi dan berselindung..namun jika ianya lebih banyak berimpak baik,lakukanlah.Berbanding jika ianya memudharatkan..tidak tahu pun perlu ambil tahu agar dapat dicegah.Sekiranya jelas ianya khilaf..pasti ianya menongkah arus dengan apa yang DIA tetapkan..yang berkemahiran..berpengetahuan dan selayaknya tegur-tegurlah dengan tegas dan berhikmah.

Mahu dengan tidak mahu sahaja.Hendak pasti ada usaha dan mengumpul serta mencari seribu daya.Berbanding jika tidak mahu..pastinya beribu alasan dan cara mengelaknya juga akan diberikan.Begitu lumrahnya manusia.Sangkaan kita itu doa.Justeru bersangka baik pada-Nya.Sebenarnya yang mana .. diri sendiri dan DIA sahaja yang merasa dan mengetahuinya.

#sama-sama mencari redha Allah SWT

23 September 2018

Sekecil Kuman Boleh Menjadi Sebesar Gajah

9:31 AM 16
SEKECIL KUMAN BOLEH MENJADI SEBESAR GAJAH
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


SEKECIL KUMAN BOLEH MENJADI SEBESAR GAJAH | Mahu tidak mahu setiap hari kita mesti menghadapi pelbagai hal dan ragam.Berpunca daripada diri sendiri atau bermula daripada orang lain.Bila kita mula berfikir itu bererti kita mula ambil tahu dan bertanggungjawab.Alhamdulillah.

Sekecil kuman boleh menjadi sebesar gajah.

Apa yang hari ini cuma sedikit kita miliki,tidak mustahil menjadi banyak di masa akan datang.Tiada yang pelik kalau ada izinNya dan terus yakin berusaha.Begitulah percaturan rezeki.

Sekecil kuman boleh menjadi sebesar gajah.

Dulu atau sekarang penyebaran berita apa pun tetap ada dan berlaku.Cuma mungkin kini lebih mudah dan pantas dengan sokongan jaringan teknologi yang terkehadapan.Hujung jari.Hadapan mata.Tiada had waktu.Percuma dipandangan kasar namun hakikatnya semua ada tanda harga dan nilai yang perlu dibayar.

Apa yang mudah dan pantas itu sememangnya sering menjadi pilihan.Siapa yang tidak mengikutinya bakal dianggap ketinggalan.Tetapi,adakalanya ada baiknya sedikit ketinggalan seandainya ia baik untuk mengekalkan suasana yang harmoni.Memelihara dan terpelihara.

Ayam dulu atau telur dulu.Kita yang salah guna teknologi atau teknologi yang merosakkan kita.Sekecil kuman boleh menjadi sebesar gajah.Baik dalam mengurus,berkongsi atau membicarakan perkara atau suatu isu sama ada baik atau buruk.Mungkin tidak menjadi satu masalah bila hal baik yang disebarkan biar pun ada segelintir kita tidak gemar berkongsi hal kebaikkan yang dilakukan kerana khuawtir timbul rasa riak.Tetapi bakal menjadi musibah jika perkara buruk yang mengaibkan sehingga menjadi fitnah yang diwarwarkan.

#sama-sama mencari redha Allah SWT

22 September 2018

Berbicaranya Makhluk

9:48 AM 14
BERBICARANYA  MAKHLUK
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


BERBICARANYA MAKHLUK | Setiap hari kita berbicara.Yang baik,yang buruk..berbicara yang bermanfaat atau sia-sia.Menggunakan kata-kata sopan serta tertib atau kasar dan kesat.Baik berbicara secara langsung atau pun sekadar bermonolog sendiri di dalam hati..bicara tetap bicara.Tetap ada ganjaran dan catatan baik buruknya.

Satu hal yang jangan pernah diabaikan dan diambil mudah adalah berbicara (du'a) dengan Allah SWT.Sentiasa.Tidak mengapa andai apa yang dibicarakan hal yang sama berulang-ulang kali..jangan jemu kerana Allah SWT TIDAK PERNAH BOSAN mendengar.Aamin.

Berbicaranya makhluk.

Sekalian isi dan penghuni baik di langit dan di bumi berbicara dengan cara masing-masing.Mungkin satu sama lain tidak memahami tapi Allah SWT itu MAHA MENGETAHUI.

Berbuat baik dengan sesama makhluk.Andai tidak mahu menjaga dan merawat kebajikkannya,,jangan pula sampai  menzalimi mengikut suka.Kita sendiri tidak suka dan tidak mahu diseksa..begitu juga mereka makhluk-makhluk lainnya.

Nabi Sulaiman as salah seorang nabi yang Allah beri mukjizat mampu berbicara dan memahami bahasa haiwan.Allahu.Indahnya..seperti mana yang termaktub dalam Surah An Naml ayat 18 dan 19.Nabi Sulaiman as mendengar semut berbicara..

BERBICARANYA MAKHLUK

(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari". (Surah An Naml : Ayat 18)

Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".(Surah An Naml : Ayat 19)

#sama-sama mencari redha Allah SWT

21 September 2018

Baling Batu Sembunyi Tangan

8:10 AM 9
BALING BATU SENBUNYI TANGAN

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt

Balik kampung lalu terowong
Terowong SMART diberi nama
Hidup ini jangan suka berbohong
Lama-lama terbongkar juga


Daun sirih bentuknya bujur
Tumbuh subur dengan cara menjalar
Jangan amalkan sikap tidak jujur
Ingat! suatu ketika jasad terbujur


Hujung minggu masak daging
Menu pilihan rendang dendeng
Memang mudah jari menuding 
Namun berat bahu yang menyandang


Dahan tua harus digergaji
Moga tunas baru segera tumbuh
Memfitnah itu perbuatan keji
Lebih keji daripada membunuh


Kecil-kecil suka makan sumi
Makan sumi perisa laici
Banyak bentuk perbuatan menzalimi
Hati-hatilah ketika menghakimi


Gigih membuat penyapu lidi
Hingga terluka jari jemari
Terkadang tidak perlu diungkapi
Boleh saja diketahui mementingkan diri sendiri


Aduh sakitnya gigi
Sebelah kiri juga kanan
Banyak lagi perbuatan terpuji
Elaklah baling batu sembunyi tangan

BALING BATU SENBUNYI TANGAN

#sama-sama mencari redha Allah SWT

20 September 2018

Serba Salah Itu Berat

8:13 AM 13
SERBA SALAH ITU BERAT
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


SERBA SALAH ITU BERAT | "Ditelan mati emak,diluah mati bapa".Begitulah pepatah membayangkan situasi serba salah untuk bertindak.Berat.Serba serbi tidak kena jadinya.Susah?..ya.Susah untuk memuaskan hati setiap orang dan susah juga untuk memahamkan semua orang.Lumrah,yang bukan hal aneh kerana setiap kita ada penerimaan dan cara masing-masing.Sasaran setiap orang tidak sama.Kapasiti yang ingin dicapai juga berbeza-beza.Harap maklum.

Membiarkan ianya berlaku atau berlalu secara semulajadi atau  mengikut sahaja aturannya,itu terkadang lebih baik dan memudahkan sebenarnya.Susah menongkah arus,maka ikutlah aliran arus itu dengan siaga untuk lebih menikmati.Bukan tiada risiko namun ianya kecil dan terkawal berbanding menongkah arus yang mungkin tidak mampu untuk dikawal dan di atasi..begitulah perumpamaan melewati fasa-fasa kehidupan ini..

Hidup tiada yang mudah...tapi yang mudah jangan dirumitkan.

Serba salah itu berat.

Serba Salah Itu Berat
Google Image

Bila perlu membuat keputusan dan pilihan.Ya,sesiapa pun dihantui rasa serba salah yang tidak diminta,tidak diundang..ianya hadir dengan sendiri.Bila ada rasa serba salah itu berat sebenarnya.Memeningkan.Merungsingkan.Menganggu aktiviti seharian juga jika terbawa-bawa dan hanyut kerana emosi.Normalnya begitu.Tiada rasa serba salah pun payah juga.Ikut suka sendiri.Ikut rasa sendiri.

Buka simpulan perlahan-lahanlah.Cari puncanya.Kenalpasti dari mana ia bermula.Buat penilaian sama ada ianya condong atau memberat ke arah mana.Keperluan atau kehendak.Penting atau tidak.Boleh ditunda dan dipinda atau diperlukan dengan kadar segera.Minta pendapat..mengadu pada-Nya.Biar pun membuat pertimbangan itu sukar....namun itu sahaja jalan terbaik untuk meredakan dan membuang rasa serba salah.Kemampuan diri hanya diri sendiri dan Allah SWT sahaja yang tahu.

#sama-sama mencari redha Allah SWT

19 September 2018

Hingga Ke Dasarnya

8:59 AM 5
HINGGA KE DASARNYA
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum WBT

Kita melihat.
Kita mendengar.
Dengan deria yang dipinjamkan DIA yang SATU.
Kita sibuk untuk ambil tahu.
Terkadang kita juga buat-buat tidak tahu.
Membisu.Kaku.

Faham.
Belajar faham.
Sememangnya memahami.
Gigih berusaha menyelami.
Yang mana satu sebenarnya.
Dilaluan mana untuk kita mendekati.
Lebih tepatnya cubalah memahami.

Di awal kita membuat kesimpulan.
Di pertengahan kita buat andaian.
Hujungnya kita menjadi pereka.
Pereka merosakkan jiwa.
Menjerumuskan diri ke lembah hina.
Mereka santai.
Hujungnya kita dirantai.

Hari ini.
Ramai yang lebih gemar menghakimi.
Tidak kira dikisah mana.
Tidak kira kepada siapa.
Dibantai serupa.
Dibantai buat sama.

Hingga Ke Dasarnya

Hingga ke dasarnya.
Kita kaji hingga ke dasarnya.
Selusuri untuk lebih mengerti.
Tersurat itu mudah ditafsiri.
Tersirat itu mesti lebih diselami.
Bepada-pada ketika mahu mendasari.

Bangkit dengan bukti.
Atau bungkam sekadar memerhati.
Berjuang sepenuhnya hati.
Atau berundur sedar diri.
Benar-benar takutilah neraka Ilahi.

#sama-sama mencari redha Allah swt

18 September 2018

Rasa Menyesali

8:55 AM 4
RASA MENYESALI
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


RASA MENYESALI | Manusia sebenarnya jauh dari kesempurnaan yang dicari.Setinggi mana pun ingin menggapai kesempurnaan,ianya tidak tercapai kecuali ada rasa mensyukuri setiap nikmat dan bersederhana menjalani kehidupan.Tetapi manusialah sebaik-baik makhluk dan kejadian ciptaan-Nya kerana disertakan akal.Alhamdulillah.

Rasa menyesali.

RASA MENYESALI

Rasa menyesal? ..Tidak!
Rasa menyesal? .. Ya!
Kerana keegoan atau rasa malu yang mencengkam.Diri sendiri dan DIA YANG MENGETAHUI.

Ada beza.Ada perbezaannya.Lain orang lain rasa dihatinya.Ada yang cepat rasa bersalah kemudian terbit rasa menyesali atas setiap khilaf yang dilakukan.Ada yang tawar dan hambar.Tiada rasa dan biasa-biasa kerana yakin apa yang dilakukan pada tahap dan situasi yang sangat benar.Rasa bersalah atau rasa melakukan kesalahan..ahh jauh sekali.Ada juga yang tahu dan sedar telah lakukan kesalahan,tapi malu untuk akui dan berubah.Tidak samakan posisinya.

Takut.Takut itu perlu ada.Lebih-lebih takut pada azab-Nya.Taubat itu bila-bila boleh..betul,setuju sangat,yang menjadi persoalannya adalah hidup kita ini bukan sampai bila-bila.Oleh kerana tidak tahu bila Malaikat Izrail bakal menyapa dan menampakkan rupanya..dikesempatan yang bersisa,jangan buang masa..bertaubatlah.

Rasa menyesali itu umpama satu pelaburan.Menjadi anak kunci untuk membuka ruang agar diri lebih merendah dan mewah dengan rasa kehambaan.Berjanjilah..berusaha untuk tidak kembali mengulangi..

#sama-sama mencari redha Allah swt

17 September 2018

Urus Sebaik-baiknya

10:09 AM 12
URUS SEBAIK-BAIKNYA
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


URUS SEBAIK-BAIKNYA | Urus boleh diusahakan.Namun pengurusan sebenarnya hanya yang terbaik dari-Nya.Pun begitu buatlah sehabis baik sedayanya kudrat kerana setiap incinya ada penilaian dan ganjaran dari-Nya juga.Tolong jangan mensia-sia dan tolong jangan berputus asa.

Urus sebaik-baiknya.

Sebelum menjangkau ke hal yang lebih besar..mulakan dahulu urus sebaik-baiknya hal yang mudah dan kecil terlebih dahulu.Bila hal yang mudah diurus dengan baik,itu menjadi latihan sebenarnya buat diri sesiapa pun.

Urus sebaik-baiknya diri kita.Hubungan kita dengan Allah swt.Hubungan kita dengan sesama insan dan makhluk yang ada.Mentaati suruhan-Nya.Menjauhi larangan-Nya.Berkasih sayang satu sama lain.Saling menghormati dan menghargai.Sentiasa menjaga diri dan kaum keluarga.Seterusnya uruslah sebaik-baiknya ibadah kita..harta benda kita biarpun mungkin tidak seberapa atau tidak sebanyak mana.

Masa.Seharian kita bergelumang dengan masa.Urus sebaik-baiknya masa yang Allah pinjamkan.Sedayanya tidak berhabisan masa kerana tuntutan dunia sebaliknya sediakan juga untuk persiapan dan di tebus di akhirat kelak..*bab masa ini pun PC sering tewas..Allahu*. Bukan hal mudah ya mahu mengurus masa..tergelincir itu selalu..yang dah berlalu biarlah..untuk yang mendatang urus sebaik-baiknya.

Mengurus tidak usah terburu-buru.Lakukan satu persatu supaya nanti tidak menjadi bercelaru.Tetapkan niat.Jelaskan matlamat.Urus sebaik-baiknya apa yang dikehendaki supaya keperluan terjaga rapi.Aamin.

URUS SEBAIK-BAIKNYA

#sama-sama mencari redha Allah swt.

16 September 2018

Cerita Semalam

8:28 AM 4
CERITA SEMALAM
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


CERITA SEMALAM | Hidup satu perjuangan.Hari-hari yang dilalui penuh dengan kejutan.Sentiasa ada dugaan.Hakikatnya hidup juga penuh dengan pelbagai cerita.Di dunia bukan untuk bersenang lenang,tidak juga untuk menikmati mengikut suka kerana pilihan dan menghadkan mesti dilakukan.

Cerita semalam.

Cerita daripada kita atau daripada orang lain.Asal yang baik-baik panjangkan dan kenanglah agar kebaikkan itu berterusan.Andainya sebaliknya,jangan cuba-cuba untuk disebar dan diingat kerana binasanya luar biasa kelak.

Boleh diset.Cari yang baik-baik biarpun ditimbunan keburukkan..insyaAllah yang baik dan jernih akan terlihat..kalau sedari awal terpasaknya hal yang buruk..maka biar sejuta kebaikkan pun ada akan tetap terlihat buruk dan keruhnya sahaja.Terserah pada diri sendiri sebenarnya.

CERITA SEMALAM

Selesai sudah akad bersemi
Uda dan dara menjadi suami isteri
Ini cerita semalam kami
Meghadiri majlis merai pasangan sejoli

CERITA SEMALAM

Pelbagai menu terhidang rapi
Pilih sahaja mengikut citarasa
Terima kasih atas undangan ini
Moga mempelai sentiasa bahagia

#sama-sama mencari redha Allah swt


15 September 2018

Pengisian

10:24 AM 6
PENGISIAN

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


PENGISIAN | Alhamdulillah.Hujung minggu yang agak panjang untuk beristirehat bersama tersayang.Ada yang mengambil kesempatan ini pulang ke kampung..atau waktu cuti ini diisi dengan menghadiri undangan-undangan majlis yang menanti.Bagi yang bertugas dikala orang lain sedang bercuti..moga setiap peluh itu menjadi saksi di akhirat kelak.Masa dan tenaga yang dilabur moga juga menjadi saham terbesar nantinyaa.Aamin.

Esok .. 16 September.Sedikit pengolahan fahaman mengikut bacaan dan rujukkan yang PC lakukan di wikipedia..16 September bukan sahaja sambutan Hari Malaysia,ianya juga tarikh yang sama di mana memperingati pertubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963 yang melibatkan penyertaan barsama Tanah Melayu,Sabah,Sarawak dan Singapura untuk membentuk Malaysia.Mulanya berkuatkuasa 16 September menjadi cuti am di semua negeri di Malaysia adalah pada tahun 2010.Bermakna ini tahun dan kali ke-8 kita meraikan Hari Malaysia.

Pengisian.

Bila sebut meraikan lazimnya pelbagai acara diadakan.Berbilang bangsa dan agama serta budaya sama-sama menyambutnya atas rasa sayang pada negara Malaysia.Syukur.Biar meriah dan gah setiap sambutan yang diadakan..bagi PC pengisian itu paling penting dan utama baik untuk golongan kanak-kanak,remaja mahupun dewasa.Ya,merangkumi semua peringkat usia dan latar belakang.

Pengisian itu umpama denyut nadi.Sebuah negara terbangun,dikenali,disanjung,dihormati bermula daripada kualiti nadinya iaitu rakyatnya.Semangat warganegara..itu penting.Ke mana pun kita pergi,kita bukan sahaja duta agama..bukan sahaja bawa maruah ibu bapa dan diri sendiri...tetapi kita juga membawa maruah negara.Jangan menjadi nila yang boleh merosakkan susu sebelanga..jangan jadi gunting dalam lipatan..jangan juga jadi api dalam sekam..

Pengisian

#sama-sama mencari redha Allah swt

14 September 2018

Hidupkan Semula

7:51 AM 6
Hidupkan Semula
HIDUPKAN SEMULA

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt

Besar dan indah dilihat mata
Modal besar mendirikannya
Imarahkan surau dan masjid yang ada
Moga cahayanya nampak terang tidak terhingga


Ilmu umpama pelita hidupmu
Jangan putus asa dan jangan jemu
Menuntut ilmu tidak semestinya belanja beribu
Syaratnya cari guru yang betul dan berilmu


Lampu terpadam gelap gelita
Meraba-raba cari lilin
Hati yang mati lebih berbahaya
Jasad sihat tapi kontang belas ihsan


Siddiq amanah tabligh fathonah
Sifat-sifat terpuji melunas suruhan Allah
Dekati semula Al Quran dan sunnah
Hidupkan semula iman yang musnah


Seminggu pantas sahaja berlalu
Hari ini Jumaat kembali lagi
Cairkan rasa-rasa yang beku
Moga memperoleh keberkatan Ilahi

#sama-sama mencari redha Allah SWT


13 September 2018

Jangan Malu Susun Semula

8:33 AM 11
JANGAN MALU SUSUN SEMULA
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


JANGAN MALU SUSUN SEMULA | Suka main blok-blok abjad,angka dan huruf jawi dan tidak ketinggalan jigsaw puzzle..ya itulah Perdu Cinta..dulu di suatu masa..melewati zaman kanak-kanak milo dan ribena.Pastinya setiap kita ada kenangan indah dan bergula yang sentiasa segar dalam ingatan.Allahu.

Jangan malu susun semula.

JANGAN MALU SUSUN SEMULA
Google image

Menyusun.Memadan.Mengisi.Begitulah simboliknya kehidupan yang dilalui hari ini.Setiap hari kita menyusun jadual seperti yang diingini namun jadual Allah yang tersedia untuk kita itu yang terbaik.Lumrah hidup mahu berpasangan dari jenis sendiri.Jenis ya,bukan keserupaan jantina *terdapat perbezaan ketara antara jenis dan keserupaan*.Bererti manusia pasangannya manusia.jelas dari jenis yang samakan.Lelaki dan wanita.Jodoh itu urusan Allah.Mencari,berkenalan itu usaha hamba.Allah mencipta kita malahan setiap makhluk untuk saling mengisi setiap ruang dan peluang  mengikut keperluan tertentu yang telah ditetapkan.

Jatuh - bangun dalam kehidupan.Melihat kejayaan yang berterusan itu indah.Melihat kepayahan berlanjutan itu mengundang rasa gundah.Semua kita lihat.Sekadar melihat.Tidak jatuhkah di sepanjang meniti kejayaan.Langsung tiada rasa mudahkah sepanjang melewati detik kepayahan.Pasti ada yang mungkin hanya tidak diketahui dan tidak dikongsi.Biar bagaimanapun warna dan lakarannya..jangan malu susun semula langkah..bangkit dan mulakan semula merakit supaya satu detik mampu meroket.

#sama-sama mencari redha Allah swt.

12 September 2018

Bermulanya Daripada Sifar..Hujungnya Harap Rahmat Allah SWT

8:34 AM 11
BERMULANYA DARIPADA SIFAR .. HUJUNGNYA HARAP RAHMAT ALLAH SWT

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


BERMULANYA DARIPADA SIFAR .. HUJUNGNYA HARAP RAHMAT ALLAH SWT | Tajuk...maaf ya panjang pula tajuknya.Nak buang terasa setiap patah kata penting sebenarnya.Penting difikiran PC.Justeru PC jadikan semua tajuklah.

Kadang penting bagi kita .. namun tidak bagi orang..dan adakalanya sangat penting pada orang tapi kita memperleceh dan mempelekehkan..begitulah realiti kehidupan.

Penting?!?..ya,banyak hal penting yang terkadang kita buang atau ketepikan...kita abaikan.Allahu.Sedihnya Perdu Cinta juga tidak terkecuali.Sungguh..rasa berdosa dan malu pada-NYA.

Bermulanya daripada sifar .. hujungnya harap rahmat Allah SWT.

Hakikatnya kita.Ya diri PC,kita,awak dan mereka semua..mula daripada sifar..daripada hari pertama lahir sebenarnya tidak mengerti apa-apa pun.Seiring waktu yang ditempuhi...seusia yang dinikmati bersertanya ilmu dan pengalaman.Diperolehi baik secara langsung atau tidak langsung.Sedikit demi sedikit.Semua dengan aturan-Nya..kehendak juga izin-Nya.Alhamdulillah.

Pandang langit jangan sampai lupa menjengah ke bumi di mana kaki  melangkan dan  sedang berpijak.Siapa diri detik ini,di mana diri berada ketika ini .. jangan pernah lupa asalnya adalah sifar.Bersyukur.Jangan lupa pada yang MEMBERI dan MEMINJAMKAN.Mahu tidak mahu setiap incinya akan diambil semula atau mungkin kita sendiri memulangkannya.

Siapa kita sebelum ini.Bagaimana kita sebelum ini.Apa yang kita miliki semasa menikmati duniawi.Dan nanti apabila setelah nyawa tidak lagi menyatu di jasad.Suatu saat..hujungnya hanya mengharap rahmat  daripada Allah SWT.
Rahmat (رحمت)Dari segi bahasa : belas kasihan..Dari segi istilah : kebaikkan Allah mengurniakan kepada manusia seperti tubuh badan yang sihat,minda yang cerdas dan jiwa yang bersih.
Gantilah rasa keanggkuhan itu dengan rasa merendah diri.Kikis cinta keduniaan itu dengan mencintai Ilahi.Tidak pernah rugi sentiasa memiliki rasa rendah hati semwaktu menjalani kehidupan sebagai hamba-Nya di muka bumi ini.

BERMULANYA DARIPADA SIFAR .. HUJUNGNYA HARAP RAHMAT ALLAH SWT

#sama-sama mencari redha Allah SWT

11 September 2018

Muharram 1440H

8:11 AM 18
MUHARRAM 1440H

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum WBT


MUHARRAM 1440H | Allahu.Hari ini.Bermula bulan Islam pertama Muharram.Bererti beralih jugalah tahun baru hijriah  menjadi 1440H.Muharram 1440H.Syukur.Allah masih lagi memberi kita peluang..moga 11 bulan berikutnya kita masih lagi di muka bumi Allah ini dan diberi kesihatan untuk terus beribadah dan taat pada-Nya.Aamin.

Maal Hijrah.Sejarah indah yang bermula menjadi detik perkiraan tahun Hijriah untuk kita ummat..perpindahan Nabi Muhammad SAW dan ummat Islam dari Kota Makkah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi.Menyatukan Kaum Ansar dan Muhajirin."Demi menegakkan Islam tercinta"

Muharram 1440H.

Doa.Satu permulaan yang baik..sertakan dengan doa yang baik juga.Disunnatkan membaca Doa akhir dan awal tahun yang lazimnya dibaca setiap kali masuk sahaja bulan Muharram.

Muharram bererti "diharamkan".Ya,sirahnya..sebelum pembukaan Makkah,Allah malarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah ketika bulan Muharram.Rasulullah SAW pula menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah yang digelar "shahrullahi".Dalam takwim Islam bulan yang lebih mulia disisi Allah SWT..selain bulan Ramadhan..bulan Muharram juga mulia disisi Allah SWT lantaran dikenali sebagai bulan Allah SWT.

Antara Peristiwa Menarik Yang Berlaku Pada 10 Muharram


Sunting

🍒10 Muharram juga dikenali sebagai Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

🍒Nabi Adam a.s bertaubat kepada Allah.

🍒Nabi Idris a.s diangkat oleh Allah ke langit.

🍒Nabi Nuh a.s diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.

🍒Nabi Ibrahim a.s diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.

🍒Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.

🍒Nabi Yusuf a.s dibebaskan dari penjara.

🍒Penglihatan Nabi Ya'qub a.s yang kabur dipulihkan Allah SWT.

🍒Nabi Ayub a.s dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.

🍒Nabi Yunus a.s selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.

🍒Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s dan pengikutnya dari tentera Firaun.

🍒Kesalahan Nabi Daud a.s diampuni Allah SWT.

🍒Nabi Sulaiman a.s dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

🍒Hari pertama Allah menciptakan alam.

🍒Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.

🍒Hari pertama Allah menurunkan hujan.

🍒Allah menjadikan 'Arasy.

🍒Allah menjadikan Luh Mahfuz.

🍒Allah menjadikan alam.

🍒Allah menjadikan Malaikat Jibril a.s

🍒Nabi Isa a.s diangkat ke langit


Permulaan baru.Peluang buka lembaran baru.Mungkin ada yang lebih senang atau selesa memilih tahun baru Masihi untuk perbaharui azam atau tindakkan..berbanding menjadikan tahun baru Hijriah untuk memulakan langkah yang baru dalam merencana urusan seterusnya.Tidak kiralah mana yang menjadi pilihan..namun niatkan semua usaha ke arah kebaikkan itu kerana Allah.


Muharram 1440H

#sama-sama mencari redha Allah SWT

10 September 2018

Di Sebalik Tabir

10:28 AM 8
DI SEBALIK TABIR

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt

Apa yang terlihat.
Senyuman.
Tertawa.
Bahagia.
Apa yang serselindung.
Sedih.
Tangis.
Derita sengsara.
Di sebalik tabir.
Hanya DIA.
Tahu semuanya.
Tidak terlepas walau sehalus debu.


Bukan pura-pura.
Tidak juga beragenda.
Jauh sekali bertopeng atau bagaimana.
Satu.
Tuhan itu ada.
Dua.
Cuma mahu melihat sekeliling bahagia.
Tiga.
Cukup kepayahan dimamah sendirian.


Di sebalik tabir.
Tidak dicanang.
Namun sentiasa dikenang.
Bila kehidupan berganjak sedikit senang.
Bila jiwa dan fikiran semakin lapang.
Bahagia bukan kerana semata banyak wang.
Bahagia itu rasa luar biasa yang bertandang.


Tidak semua mahu tahu.
Tidak semua juga tidak ambil tahu.
Lihat bagaimana cara menghargainya.
Sebelumnya.
Atau.
Sesudahnya.
Sebelum itu sebenarnya permulaan.
Sesudah itu hasilnya.
Allahu.

DI SEBALIK TABIR

#sama-sama mencari redha Allah swt



09 September 2018

Sana Sini Kompang Di Hujung Minggu

9:14 AM 22
SANA SINI KOMPANG DI HUJUNG MINGGU

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
Assalammualaikum wbt


SANA SINI KOMPANG DI HUJUNG MINGGU | Cuaca sekarang panas dan hujan berselang seli..bertukar ganti..alhamdulillah nikmat mana yang mahu kita dustakan.Allah lebih tahu ketika mana panas itu perlu dan bila pula perlu menurunkan hujan.Kita syukuri sahaja.

Sana sini kompang dihujung minggu.

Cuaca bukan halangan.Dulu hujung minggu cuti sekolah panjang  hujung tahun sering menjadi pilihan untuk mengadakan majlis pernikahan dan meraikan mempelai.Namun tidak sekarang.Hujung minggu digunakan untuk mengadakan majlis perkahwinan.Asal sahaja dapat mengumpul adik beradik,saudara mara jauh dekat juga sedikit jiran tetangga serta rakan taulan..itu cukup memadai.Hujankah..panaskah..majlis terus berlangsung.Tiada masalah.Alhamdulillah.

Mengikut peredaran zaman.Dulu kompang secara langsung.Pening ketua kompang susun jadual mahu memenuhi permintaan.Cari ahli yang sanggup turut serta..bayangkan kalau sehari dua buah rumah..letih juga mulut menyanyi..tangan pukul kompang.Tapi sekarang bukan tidak ada yang memilih kumpulan kompang..namun mungkin dek yurannya yang agak tinggi(ada yang berasakan ianya wajar dan sebaliknya)..maka tuan rumah memilih alunan kompang daripada rakaman bunyinya sahaja.

Undangan tetap undangan.Bermula dengan tuan rumah datang sebuah rumah ke sebuah rumah berjabat tangan menjemput....kemudian diganti dengan kad undangan yang pelbagai rekabentunya yang indah-indah..daripada yang tiada bau hinggalah yang harum semerbak..kemudian kini ada juga yang menggunakan sistem pesanan ringkas...WhatsApp..email dan menitip pesan untuk disampaikan.Ada yang berkenan dengan kaedah undangan melalui kemudahan teknologi kini..ada yang menolaknya juga.Bagi PC..cara mana pun yang dipilih dan digunakan..undangan tetap undangan.Penuhilah sekiranya tidak berhalangan dan tidak keuzuran.

Sehingga bulan Oktober..sudah ada beberapa undangan ke majlis walimatulurus untuk PC dan En Suami..moga Allah beri kesihatan dan mengizini kami menghadirinya.امین.

SANA SINI KOMPANG DI HUJUNG MINGGU
Google image

#sama-sama mencari redha Allah swt